Pada kali ini cikgu memberikan beberapa lagi contoh rumusan dan jawapan. Semoga pelajar-pelajar semua mendapat manfaat daripada contoh rumusan yang cikgu berikan.
RUMUSAN KARANGAN
Contoh 1
Rasuah ialah penyakit sosial
yang boleh mencemarkan imej sesebuah negara dan rakyatnya. Sebagaimana
pelacuran yang disifatkan sebagai kerjaya tertua sejak wujudnya peradaban manusia,
perbuatan rasuah juga telah wujud sekian lama, malah semakin menjadi amalan
biasa. Apa-apa pun amalan biasa terutama yang buruk, seharusnya tidak menjadi
amalan yang berterusan sehingga sukar dibendung dan dibanteras. Rasuah jika
diterima sebagai amalan biasa, akan membawa kehancuran kepada seluruh
masyarakat, bangsa dan negara seperti yang berlaku dalam sejarah tamadun besar
dunia. Kita terpaksa mengakui bahawa Malaysia juga tidak terkecuali dalam
fenomena ini. Walaupun gejala ini belum begitu berleluasa, kesedaran seluruh
masyarakat amat diperlukan, terutama dalam suasana pertumbuhan ekonomi yang
kian pesat.
Rasuah jika tidak dikawal dan
diperangi habis-habisan dari awal lagi akan memberi kesan buruk terhadap sistem
pentadbiran negara. Penyakit ini juga akan turut menggugat kestabilan sosial
negara. Apatah lagi ketika kerajaan sedang mencanangkan program pembangunan
perindustrian yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Gejala ini
akan menjejaskan keyakinan orang ramai terutama pelabur asing terhadap
kecekapan dan keberkesanan sistem perundangan serta birokrasi negara ini.
Rasuah juga tidak boleh dimulakan kerana akan berlarutan dan ketagihan. Setelah
sebati dengannya, maka wabak berbahaya ini merebak menjangkiti orang lain pula.
Rasuah menyebabkan seseorang menjual prinsip, maruah dan harga diri. Masyarakat
yang mengamalkan rasuah akan bertindak di luar batasan dan peraturan yang telah
ditetapkan. Sesungguhnya masyarakat yang kehilangan nilai amanah akan ditimpa
krisis kepercayaan.
Oleh itu, semua pihak perlu menjauhi sifat tamak yang boleh
menyebabkan perbuatan rasuah serta mengelakkan diri daripada berbelanja
melebihi pendapatan. Berikutan semakin seriusnya usaha menangani gejala ini ,
rakyat sangat berharap tiada sesiapa akan terkecuali daripada tindakan
undang-undang. Martabat atau parti politik bukan payung yang melindungi sesiapa
daripada penghakiman dan hukuman. Kita yakin bahawa hukuman yang setimpal boleh
menerbitkan perilaku baik seseorang. Sehubungan itu, dalam memerangi gejala ini,
semua pihak perlulah bertindak secara menyeluruh dan berterusan. Jika kita
sepakat melakukannya, tiada sebab kita akan gagal.
( 30 m )
(Diubahsuaikan daripada Minda Pengarang
Berita Harian 15 Februari 1997 )
JAWAPAN
Pendahuluan
Petikan
membincangkan implikasi/ kesan-kesan
amalan rasuah di negara ini dan usaha-usaha untuk membendungnya. (
2 M )
Petikan
membincangkan implikasi/kesan – kesan amalan rasuah di negara ini . ( 1 M
)
Isi tersurat
- Rasuah menjejaskan sistem pentadbiran
sesebuah negara ( 2 M )
- Menggugat kestabilan sosial (
2 M )
- Menjejaskan keyakinan masyarakat terutama
pelabur asing terhadap kecekapan dan keberkesanan sistem perundangan dan
birokrasi negara. ( 2 M )
- Seseorang sanggup menjual prinsip dan
maruah (2 M )
- Pengamal rasuah akan bertindak di luar
peraturan yang ditetapkan ( 2 M )
- Akan ditimpa krisis kepercayaan ( 2
M )
Isi tersirat
- Pentadbiran negara akan menjadi lemah ( 2
M )
- Hubungan sosial antara anggota masyarakat
menjadi renggang (2M )
- Keadilan sistem perundangan dan birokrasi
akan dipersoalkan oleh masyarakat ( 2M )
- Amalan rasuah boleh menghancurkan masa
depan masyarakat .( 2 M )
Kesimpulan
Amalan
rasuah perlu dibanteras agar gejala buruk tidak berleluasa. ( 2 M )
Contoh 2:
Perbuatan
merosakkan harta benda awam atau vandalisme kian hari menular di negara kita Harta
benda awam telah dirosakkan sewenang-wenangnya. Perbuatan yang tidak
bertanggungjawab ini telah mengundang pelbagai komplikasi. Pihak kerajaan telah
membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk memperbaiki kemudahan awam yang telah
dirosakkan oleh individu yang tidak mempunyai “perasaan memiliki” setiap
kemudahan yang disediakan .
Banyak perkara yang dapat dilakukan oleh
masyarakat untuk membanteras vandalisme daripada terus menerus berleluasa.
Pendidikan merupakan tunjang atau paksi utama yang dapat mengubat penyakit sosial
ini. Di peringkat sekolah, pendidikan diharap mampu mencambahkan kesedaran cinta
terhadap harta benda awam. Di samping itu, masyarakat setempat pula perlu
prihatin dan berasa terpanggil untuk mengambil tindakan tanpa perlu
mengharapkan pihak berkuasa membuat tangkapan. Dalam hal ini, Jawatankuasa
Perumahan yang berkenaan perlu bergabung tenaga untuk membuat kawal selia di
kawasan masing -masing.
Kepada pesalah-pesalah vandalisme pula, hukuman
yang lebih berat perlu dikenakan sebagai suatu jalan pencegahan yang paling
baik. Ada cadangan daripada pihak masyarakat yang mahu supaya para pesalah
didenda melakukan kerja pembersihan di kawasan-kawasan awam, seperti
membersihkan tandas dan sebagainya. Denda ini adalah sebagai pengajaran kepada
individu lain agar menjauhkan diri daripada perbuatan vandalisme. Kita boleh
juga mengambil contoh dari negara Singapura yang menjatuhkan hukuman berat
kepada pesalah vandalisme. Selain itu, langkah bersama yang boleh diambil
adalah mengadakan program tindakan bersama seperti menganjurkan pameran yang
melibatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat
dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL ).
Di ibu negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang
pentingnya sikap memelihara harta benda awam ini dengan membentuk Jawatankuasa
Antivandalisme yang turut dianggotai oleh jabatan lain dan agensi kerajaan.
Kerana menyedari hakikat bahawa pelajar merupakan aset penting dan generasi
wawasan yang akan menerajui negara pada masa hadapan, maka Jawatankuasa
Antivandalisme ini telah melibatkan sekolah dan para remaja untuk turut sama
menjayakan kempen ini. Jabatan Pendidikan sendiri telah menganjurkan “ Harta
Benda Awam Milikku-Milikmu”. Pertandingan seperti ini penting untuk menanamkan
sifat bertanggungjawab dan menyemaikan perasaan sayang terhadap harta benda
awam .
JAWAPAN
Pendahuluan
- Petikan tersebut membincangkan langkah –
langkah mengatasi masalah vandalisme di negara kita dan akibat-akibatnya/
kesan-kesannya. (2M)
- Petikan tersebut membincangkan langkah-langkah
mengatasi masalah vandalisme di negara kita (1 M)
Isi – isi tersurat
- Pihak sekolah perlu menanamkan perasaan
cinta terhadap harta benda awam di kalangan pelajar (2M)
- Masyarakat setempat perlu prihatin dan
berasa terpanggil untuk membuat tindakan tanpa mengharapkan pihak berkuasa
(2M)
- Pesalah vandalisme perlu dikenakan denda
dan hukuman yang lebih berat ( 2 M )
- Mengadakan program tindakan bersama yang
melibatkan pelbagai pihak ( 2 M )
- Penubuhan jawatankuasa Antivandalisme
oleh DBKL bersama dengan jabatan dan agensi lain. ( 2 M)
- Kementerian Pendidikan telah menganjurkan
pertandingan – pertandingan yang menyemaikan sifat bertanggungjawab
terhadap harta benda awam di kalangan pelajar. ( 2 M )
Isi – isi tersirat
- Dapat melahirkan generasi yang
bertanggungjawab terhadap harta benda awam ( 2 M )
- Orang ramai takut untuk melakukan
vandalisme ( 2 M )
- Imej negara akan terjejas di mata dunia (
2 M )
- Industri pelancongan akan merosot ( 2 M )
- Negara terpaksa mengalami kerugian kerana
membaik pulih kerosakan ( 2 M )
- Gejala vandalisme dapat dikurangkan.( 2 M
)
Kesimpulan
Semua pihak hendaklah bekerjasama mengatasi masalah vandalisme agar
masalah ini dapat dikurangkan.(2M)