Ahad, 11 Disember 2011

Contoh Penulisan Rumusan Lengkap

Pada entri yang lepas, saya telah menerangkan teknik menulis rumusan dengan cara yang betul dan menepati format penulisan rumusan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia  (SPM). Di bawah ini saya sertakan contoh soalan dan jawapan rumusan. Saya berharap pelajar-pelajar beroleh manfaat daripadanya. InsyaAllah.



Contoh Rumusan Lengkap :

Rumuskan punca lambakan barangan tiruan di Malaysia dan langkah mengatasinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.



             Barang-barang terkenal terutamanya yang berjenama terkenal telah berada di pasaran tempatan sejak beberapa tahun yang lalu. Gejala ini berterusan kerana memiliki barangan berjenama terkenal menjadi idaman kebanyakan orang yang mengutamakan prestij. Namun begitu, bukan semua orang mampu memiliki barangan yang berjenama kerana harganya yang mahal. Untuk memenuhi tuntutan kemahuan tersebut, maka segelintir anggota masyarakat beralih kepada barangan tiruan. Mereka berpendapat mutu barangan ciplak itu tiada bezanya daripada kualiti barangan asli.


       Penimbunan barangan tiruan itu disokong oleh pasaran globalisasi yang memudahkan barangan berkenaan memasuki negara kita. Barangan tiruan ini biasanya dibawa masuk melalui pintu sempadan dan pelabuhan dalam dua bentuk iaitu, separuh siap atau siap sepenuhnya. Barangan separuh siap akan melalui proses pembungkusan dan pelebelan sebelum memasuki pasaran. Dengan kemudahan logistik, barangan ini dapat dihantar oleh pengedar ke sesuatu destinasi dengan cepat dan mudah. Pertambahan kontena barangan yang sampai di pelabuhan dan lapangan terbang menjadi satu cabaran kepada pihak berkuasa untuk mengenalpasti isinya. Keadaan ini bertambah rumit apabila para pengimport membuat perisytiharan palsu terhadap barangan itu. Kaedah lain yang digunakan oleh golongan tidak bertanggungjawab ini antaranya adalah melalui penghantaran cepat dengan perkhidmatan bas ekspres atau kereta api. Malah kecanggihan teknologi kini mengizinkan pesanan dan bayaran barangan dibuat melalui talian laman web yang dilayari oleh pelanggan.




          Modus operandi kegiatan pengedaran dan penjualan barangan tiruan dibuat secara tunai tanpa sebarang resit. Oleh itu, apabila serbuan dibuat ke atas penjual, maka pembekalnya tidak dapat dikesan. Sekalipun dikenali pembekalnya namun penjual tidak berani memaklumkannya kepada pihak berkuasa tentang identiti pembekalnya kerana hal ini membabitkan kegiatan sindiket dan mengancam nyawa mereka. Bagi para pengguna pula, mereka sukar membezakan antara barangan tiruan dengan barangan asli. Lebih-lebih lagi dengan penggunaan mesin canggih yang dapat menghasilkan bahan tiruan yang hampir menyerupai barangan tulen. Pada masa ini, barangan tiruan yang paling banyak di pasaran ialah pakaian, makanan, ubat-ubatan, alat ganti kenderaan, alat komunikasi, cakera optik dan perisian kompeter. Barangan ini laris di pasaran atas kecenderungan sebahagian pengguna yang tidak memperdulikan ketulenannya asalkan barangan itu berjenama dan murah.




            Penjualan barangan tiruan kian berleluasa kerana dipayungi oleh sindiket besar dengan modal yang banyak. Oleh sebab itulah kita dapati sekalipun barangan itu dirampas hari ini, namun keesokan harinya mereka boleh beroperasi semula kerana sumbernya mempunyai rangkaian perniagaan besar yang boleh bertukar ganti dan stok barangan tersebut mungkin berada di mana-mana sahaja.




Contoh Jawapan Rumusan :



            Petikan membincangkan faktor yang menyebabkan lambakan barang-barang tiruan di Malaysia.



       Punca lambakan barang-barang tiruan di Malaysia ialah golongan yang tidak berkemampuan ingin memiliki barangan berjenama dengan memilih barangan tiruan. Selain itu, pasaran globalisasi memudahkan barangan tiruan memasuki Malaysia. Pada masa yang sama, teknologi terkini mengizinkan pesanan dan bayaran dibuat melalui talian laman sesawang. Malahan, kegiatan pengedaran barangan tiruan boleh dibuat secara tunai menyebabkan serbuan dibuat menemui kegagalan. Faktor lain ialah pengguna sukar membezakan di antara barangan tiruan dengan barangan asli kerana bentuknya yang hampir sama. Faktor terakhir ialah penjualan barangan tiruan dilindungi oleh sindiket besar.


          Untuk mengatasinya, tindakan undang-undang yang tegas dikenakan kepada semua pihak yang terlibat. Masyarakat juga boleh melaporkan jenayah ini kepada pihak berkuasa tanpa rasa takut.

        Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama agar masalah pengedaran barang-barang tiruan dapat dibanteras.

Tiada ulasan: